Sejarah kesultanan Sultan_Pahang

Pengasas

Kesultanan Negeri Pahang dikatakan telah wujud semenjak zaman Melaka apabila Sultan Muhammad Shah[1] iaitu putera kepada Sultan Mansur Shah dengan Puteri Onang Sari yang dilantik menjadi sultan yang pertama bagi Negeri Pahang. Sebelum itu, Pahang berada dibawah pemerintahan Kerajaan Siam.

Perebutan kuasa

Pada tahun 1614, berlaku peristiwa di mana perebutan kuasa antara Sultan Abdul Ghafur dengan anggota keluarganya dan berakhir dengan satu pembunuhan di mana Sultan Abdul Ghafur dan Raja Muda Abdullah terbunuh. Bagi mengekalkan pemerintahan Negeri Pahang, Sultan Ahmad telah dilantiksebagai Sultan di Pahang.

Serangan Acheh

Pada tahun 1617, Acheh di bawah kepimpinan Sultan Iskandar Muda telah menyerang Pahang dan membawa Sultan Ahmad dan keluarganya ke Acheh.

Di bawah pemerintahan Johor

Seterusnya,pemerintahan Negeri Pahang telah diletakkan di bawah Kesultanan Johor yang berpusat di Johor. Di bawah kesultanan tersebut, pemerintahan Negeri Pahang diletakkan di bawah pemerintahan seorang Bendahara. Keadaan ini berterusan sehinggalah kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah II (Marhum mangkat dijulang). Apabila Sultan Mahmud Shah II mangkat dibunuh oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) pemerintahan telah berpindah kepada Bendahara pada masa itu iaitu Bendahara Paduka Raja,Tun Abdul Jalil anak Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid (Marhum Padang Saujana).

Tun Abdul Jalil (Marhum mangkat di Kuala Pahang) menaiki takhta kerajaan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil IV. Seorang putera Baginda bernama Tun Abbas dijadikanBendahara yang memerintah di Pahang. Dari zuriat Tun Abbas inilah lahirnya pemerintahan negeri Pahang daripada kalangan Bendahara sehingga pemerintahan Bendahara Siwa Raja,Wan Ahmad.

Pemerintahan sendiri

Dengan termetrinya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, telah mengakibatkan pemisahan pemerintahan diantara Riau dengan Johor dan Pahang. Setelah kuasa Raja di Riau dirampas oleh Belanda, maka pemerintah Pahang dan Johor telah mengisytiharkan pemerintahan sendiri dengan memakai gelaran Sultan. Kesultanan Pahang yang ada pada hari ini telah bermula apabila Bendahara Wan Ahmad mula memakai gelaran Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah pada tahun 1882 dan dari zuriat Baginda, kekalnya Raja Pemerintah Negeri Pahang hingga ke hari ini.